Video Of The Month

Monday 5 January 2015

Mak, Abah...Jodohmu terlalu kuat.

Assalammualaikum...


Aku menghela nafas panjang.

Puas memikirkan untuk mencari ayat-ayat terbaik.  Menggambarkan tentang betapa rindunya aku pada pemergian mak dan abah.  Betapa singkatnya masa 3 tahun itu mak diberi masa untuk menemani kami semua sebelum mak pergi menemani abah pula di sana.

*pause

18hb September 2011

Abah pergi meninggalkan kami lapan beradik.  Abah pergi kerana sudah terlalu lama terlantar sakit strok dan uzur.  Walaupun umur abah belum mencecah 70 tahun lagi.  Abah meninggal di rumah kakakku yang sulung.  Ketika itu abah di bawah jagaan akak.  Dan pada masa itu juga, abah menghembuskan nafas terakhir ketika kami semua tiada di sisi abah.  Hanya akak dan abang ipar aku jer.  Dua minggu sebelum abah meninggal, aku sendiri turun dari Pasir Gudang untuk menjaga abah.  Siapa sangka, itu lar kali terakhir aku menjaganya.  Tukarkan pampers, bagi dia makan dan minum, bersihkan kuku dia, lap badan dia, tukarkan baju dan kain pelikat dia.  Itu lar kenangan terakhir aku bersama abah.

Sesampai jer aku di rumah akak, jenazah abah sudah dimandikan dan dikafankan.  Sepatutnya anak-anak lelaki yang mandikan dan kafankan sendiri jenazah abah.  Tapi tau saja lar, abang aku dan adik lelaki aku mengambil masa 4-5 jam untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kluang.  Terlalu lama untuk menunggu mereka sampai.  Maka, akak aku serahkan pada orang-orang masjid yang menguruskannnya.  Sewaktu abah meninggal, aku bawa mak duduk bersama denganku di Pasir Gudang.  Ketika itu, mak juga tidak berapa sihat.  Maka, aku sukarela menjaga mak manakala akak pula menjaga abah.  Namun, apakan daya.  Baru sehari mak dan abah 'dipisahkan', siapa sangka itulah kali terakhir perpisahan antara mak dan abah rupanya.  Mak menangis bila tau abah dah takde.  Meskipun begitu, dia redha dengan pemergian suaminya kerana sudah terlalu lama terlantar sakit sebegitu.  Sesekali mak menitiskan air mata.  Mungkin teringat akan kenangan dia bersama abah.
Langkah mak begitu longlai semasa sampai di rumah akak.  Pun begitu, mak gagahi jua untuk menatap wajah abah kali terakhir.  Mak menangis tapi tidak meraung.  Hanya kerinduan dan kenangan bersama abah akan menemani mak selepas ini.

Tidak lama kemudian, sebahagian adik beradik aku yang duduk di Kuala Lumpur tiba di rumah akak.  Kami menangis.  Mak pun menangis lagi.  Adik lelaki ku goyah lalu melutut di depan pintu rumah akak, tak dapat menanggung kesedihannya melihat jenazah abah.  Kami bergilir mencium dahi abah.  Kami sempat bacakan surah yassin sebelum orang-orang masjid mengangkat abah untuk dikebumikan.  Mereka mahu segerakan majlis pengemubian.  Tak baik kalau dilambatkan.  Aku tak dapat mengikut bacaan talkin di pusara abah sebab aku tengah period.

Akak kata...

Abah pergi dengan tenang.
Tiada terseksa dengan penyakitnya sebelum ini.
Akak sempat mengucap di telinga abah.
Abah menarik nafasnya yang terakhir dengan lembut.
Wajah abah seperti tersenyum selepas dikafankan.
Wajah abah seperti kembali muda.


Sepanjang 3 tahun


Kami bergilir menjaga mak. Takkan kami nak biarkan mak duduk keseorangan di rumah sendiri walaupun mak lebih selesa begitu. Tapi kami begitu risaukan kesihatan mak.  Mak penghidap kencing manis dan darah tinggi. Kekadang mak kurang darah.  Sebab tu mak selalu rasa pening. Masakan kami mahu biarkan mak duduk keseorangan dengan keadaan sebegitu.

Mak selalu berpindah randah. Kalo dia bosan duduk rumah anaknya di Kuala Lumpur, maka dia pergi ke Kluang pula, rumah akak. Lepas tu terlajak pula ke Pasir Gudang, rumah aku.  Ada lar dalam 3 kali mak datang ke rumah aku dalam jangkamasa 3 tahun itu.  Selebihnya mak banyak duduk di KL.  6 dari 8 orang adik beradik aku semuanya telah bermastautin di KL.  Mau nyer mak aku tak suka duduk kat KL tu.  Dia kata KL happening.  Paling tidak pun, adik-beradik aku yang dok kat KL tu 'berebut' nak belanja mak makan.  Tentulah mak suka dapat makan sedap-sedap.  Tempat aku ni, Pasir Gudang tempat mana yang happening?  Uwaaa....

Kali terakhir mak duduk dengan aku pada bulan puasa tahun lepas, 2013.  Aku gembira sebab dapat berpeluang berpuasa dengan mak tahun itu.  Selalunya mak berpuasa dengan anak-anaknya di KL.  Itu lar kali terakhir aku berpuasa dengan mak.  Aku ajak mak berbuka puasa sekali di rumah mak mertua aku, juga rumah besannya.  Pagi raya pun aku ajak mak pulang beraya di kampung laki ku di Rengit.  Aku hidangkan mak dengan makanan orang Bugis.  Dapat lar mak merasa burasak dan lepat di hari raya.  Berselera betul mak makan.  Untung mak sebab dapat duit raya sekali dari sedara mara laki aku.  Ini sangat mengecewakan sebab aku sendiri tak dapat pun duit raya dari diaorang.  Raya kedua baru lar aku pergi beraya di Kluang, rumah akak sulungku.  Sambil itu hantar mak sekali dengan luggage dia sebab dia nak terus ikut pergi KL dengan adik beradik aku yang lain.

Setahun kemudian, aku dikhabarkan yang mak masuk hospital disebabkan sesak nafas.  Naik ambulans lagi.  Puncanya disebabkan mak dah beberapa hari demam dan batuk teruk.  Ikutkan hari Sabtu tu ada Hari Terbuka Adam dan Hanie.  Tapi mana yang lagi penting?  Aku bergegas pergi ke KL walaupun ketika itu jam menunjukkan pukul 3 pagi.  Aku pickup sekali akak ku di Kluang.  Ikutkan dia nak pergi naik bas tapi aku cakap tak payah lar, alang-alang dah on the way, better pickup sekali.

Masa diawal mak masuk hospital, abang aku, Abang Man yang menemani mak.  Nasib baik lar adik-adik aku yang dok kat KL semua dah pakat turun untuk gilir-gilir jaga mak kat hospital.  Tinggal aku dan akak jer yang tengah on the way dari Johor untuk melihat keadaan mak.  Masa tu mak boleh bercakap lagi walaupun masa tu dia tengah terbatuk-batuk.  Mak cakap dengan abang, nak makan bubur.  Abang bergegas turun pergi cafe hospital cari bubur.  Balik dari cafe, abang terperanjat tengok keadaan mak yang sudah berselirat dengan macam-macam wayar.  Mak tak sedarkan diri.  Doktor kata dia bagi morfin kat mak untuk rehatkan jantung dia.  Jantung mak tak kuat untuk berdegup lagi.  Jantung mak tak kuat untuk mengepam oksigen.  That's why mak mengalami sesak nafas sebelum dihantar ke hospital dengan ambulans.

Pukul 3 pagi bertolak dari Pasir Gudang dengan berhenti sekejap-sekejap kat hentian rehat, akhirnya pukul 11 pagi aku selamat sampai di Hospital Serdang.  Dengan cinoneng sebab tak tido dari semalam, aku cuba kuatkan semangat untuk melihat keadaan mak yang boleh dikatakan agak kritikal.  Mak dimasukkan ke wad ICU.  Doktor mengatakan yang mak mengalami stroke jantung.  Mungkin sebab itu jantung mak perlu direhatkan.  Jika tidak, bila-bila masa sahaja jantung mak akan berhenti kerana tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Aku ingatkan aku kuat tapi sebenarnya hati aku tak kuat.  Aku cuba menahan air mata sepanjang perjalanan aku menuju ke wad mak.  Sesampai jer aku di katil mak, aku menangis.  Terlalu banyak wayar berselirat di badan mak.  Mulut mak terbuka sedikit disebabkan tiub makanan yang telah dimasukkan ke dalam mulut mak hingga ke perut.

" Mak....Erin dah sampai ni. "

Aku cuba memanggil.

Meskipun mak telah diberi morfin iaitu ubat penenang tidur, namun mak gigih untuk membuka matanya dalam keadaan sedar tak sedar.   Mak seperti dalam keadaan tidak selesa dengan wayar yang berselirat di badan dan di dalam mulutnya.  Ada ketikanya bila mak tersedar, mak cuba untuk menarik wayar-wayar yang ada di badannya dan dimulutnya.  Aku terkejut bila hari kedua aku melawat mak di hospital, tangan mak dah kena ikat di palang katil.  Nurse pula berkeras tak bagi buka sebab takut bila dia tersedar, dia akan cabut wayar-wayar semua itu nanti.

Khamis hingga Sabtu jer aku berpeluang untuk melawat dan menjaga mak.  Kami lapan beradik bergilir-gilir menjaga mak.  Sudah tentunya kesemua adik beradik lelaki aku yang terdiri dari dua abang dan seorang adik lelaki menggalas tanggungjawab untuk menemani mak sepanjang mak berada di hospital.  Mereka bertiga sama-sama jadi 'pak guard' tidur di sebelah katil mak, incase kalo apa-apa hal yang berlaku.

Adik lelakiku, JR menceritakan sepanjang 3 hari mak berada di hospital, sorang-sorang pesakit di dalam wad mak meninggal dunia di depan matanya.  Seram sejuk rasanya.  Sesungguhnya kami bertawakal dengan apa yang berlaku nanti.

Aku terpaksa balik ke Pasir Gudang pada hari Sabtu sebab budak-budak akan sekolah pada keesokkan harinya.  Akak aku yang sulung, kerja sebagai cikgu di Kluang, pun terpaksa ikut balik juga.  Kami berpesan sesama adik beradik, update kat whatapps nanti apa-apa yang berlaku.

Aku dan akak balik dengan hati gulana.  Meskipun berat untuk tinggalkan mak, namun abangku berpesan supaya jangan risau, abang akan jaga mak sebaik mungkin.

Beberapa hari selepas aku balik dari KL,  handphone aku memang tak pernah miss dari tangan ku.  Aku selalu berwhatapps dengan adik beradik aku untuk mengetahui perkembangan terkini mak di hospital.  Hari itu, Aca, adik perempuan aku memaklumkan yang mak akan menjalani ujian scan MRI dan bermacam-macam lagi ujian x-ray.  Masa tu adik beradik lelaki aku tiada di hospital sebab semuanya balik ke rumah memasing untuk membersihkan diri.  Nasib baik masa tu Aca sampai awal pagi di hospital, jadi dia lar yang menemani mak.  Aku bagitau kat dia, update kat whatapps apa-apa yang doktor cakap nanti.

Tiba-tiba Aca menghantar pesanan di whatapps group kami...


' Allahuakbar...Allahuakbar! '
___________________________

' Doktor bagitau tadi peparu mak dah dijangkiti kuman.  Sekarang kuman dah merebak ke bahagian otak dan bahagian organ yang lain...'

___________________________

Aku terpempam dengan khabar berita dari Aca.  Hasil dari ujian MRI, keadaan mak tidak menunjukkan keputusan yang positif.  Ya Allah, aku terima dugaanMu, aku relakan dia pergi dengan aman.

( ketika menulis entry ini, air mataku sudah laju mencurah. )

Keesokkan harinya, abang aku pula whatapps.  Pernafasan mak dan denyutan jantung mak sudah tidak stabil.  Sekejap naik sekejap turun.  Abang minta kami semua berkumpul segera di hospital.  Abang mengatakan yang dia sudah sign surat-surat penting yang doktor kemukakan.  Surat itu mengatakan jika mak berhenti bernafas pada bila-bila masa dari sekarang, doktor tidak akan buat CPR disebabkan dikhuatiri rangka rusuk mak akan patah.  Kami bersetuju dengan keputusan abang.  Kami mahukan jasad mak nanti dalam keadaan sempurna.  Meskipun masa di awal mak dimasukkan ke hospital, doktor telah kemukakan surat untuk mahu menebuk lubang di tekak mak untuk membuat tiub saluran makanan ke perut disebabkan kebanyakkan organ mak tidak berfungsi dengan stabil.  Itu pun kami tidak bersetuju.  Kami tidak mahu apa-apa jua kecacatan ker lubang ker pada tubuh mak.

Aku minta izin dari suami untuk pergi ke KL dengan menaiki bas sahaja.  Lagipun masa tu budak-budak tengah bersekolah dan aku terpaksa tinggalkan Maira dengan suami.  Suami aku terpaksa izinkan.  Yang sebenarnya dia lebih merisaukan tentang keselamatan aku di KL.  Lebih kurang pukul 2 petang lebih aku selamat bertolak ke KL dengan menaiki bas.  Akak aku yang dari Kluang sudah berdesup pergi ke KL dengan familynya menaiki kereta.  Mulanya akak nak pick up aku sekali tapi aku menolak permintaannya disebabkan takut menyusahkan.  Kalo sehala tu takpe lar, ni dah dua tiga hala, so better naik bas jer lar.

Abang update dalam whatapps mengatakan yang pernafasan mak sudah drop.  Aku bagitau dengan abang yang aku tengah on the way ke KL naik bas.  Dah tentu tak sempat nak tengok mak menghembuskan nafasnya yang terakhir.  Abang kata tak mengapa.  Yang penting aku selamat sampai.  Jangan terburu-buru.  Abang akan uruskan semuanya di sini.

Tepat pukul 5:00 petang, abang aku whatapps di group...

' Erin....mak dah takde. '

*pause

( Sungguh hati aku tidak kuat.  Aku menangis ketika menaip di bahagian ini. )

Tepat pukul 4:55 petang, mak telah selamat menghembuskan nafasnya yang terakhir.  Abang kata, mak pergi dengan lembut.  Tiada terseksa di antara nafasnya.  Abang sempat bisikkan kalimah syahadah di telinga mak.  Ketika itu, cuma aku, akak dan JR jer yang tiada di sisi mak.

JR?

Ye, ada cerita sedih di sebalik yang berlaku tentang JR yang ingin aku luahkan kepada para pembaca blog.  JR, adik lelaki ku yang 'bongsu'.  Meskipun dia anak ke 6 dari 8 adik beradik.  Tapi aku percaya JR antara yang paling disayangi oleh mak aku disebabkan dia antara anak yang belum kahwin lagi.  Yang lelain semua dah kahwin.  Aku tau...di sebalik muka JR yang tak seberapa ganas, dia sangat sayangkan mak dan abah.  Di saat mak sedang menghembuskan nafasnya yang terakhir, JR tertidur di dalam kereta di kawasan hospital disebabkan kepenatan dengan kerja sehariannya sebagai penghantar kereta sewa.  Semasa JR lena tertidur di dalam kereta, dia mengatakan yang dia telah bermimpi melihat mak.  Dan mak telah mengatakan sesuatu kepadanya...

" JR, mak pergi dulu ya..."

( cerita ini telah diceritakan oleh JR sendiri selepas aku baru sampai di rumah abang )

Terus JR terbangun lalu bingkas keluar dari kereta dan menuju ke wad mak.  Alangkah terkejutnya JR bila dia tidak dapat melihat saat-saat terakhir mak ketika malaikat maut datang menjemput.  JR menumbuk dinding.  Dia berasa marah dengan dirinya.  Dia menyesal sebab tertidur.  Abang Mi cuba menenangkan JR.  Ketika itu jenazah mak sedang dikapankan oleh pihak hospital.

Aku menangis di dalam bas saat aku membaca whatapps abang yang mengatakan mak sudah tiada.  Akak aku sampai di hospital sejurus selepas mak sedang dikapankan.  Nampaknya aku yang paling terakhir sekali sampai.  Aku telefon suamiku, dalam nada teresak-esak, aku memberitahunya yang mak sudah tiada.  Suamiku cuba menenangkanku.  Dia memberitahuku yang dia akan sampai lewat pagi esok dengan membawa budak-budak dan mak mertua aku sekali.  

Disebabkan mak meninggal selepas waktu Asar, maka orang-orang masjid akan menyempurnakan jenazah mak awal pagi keesokkan harinya.  Jenazah mak di bawa pulang ke rumah abang.  Aku sampai di rumah abang pukul 9 malam.  Terduduk aku sekejap saat aku melihat jenazah mak yang kaku terkujur di depan mataku.  Aku menyelak kain batik, lalu ku kucup dahinya.  Abang menceritakan saat terakhir mak kepadaku.  Alhamdullilah, mak pergi dengan lembut.  

Malam itu kami bergilir-gilir membacakan surah Yassin sampai ke pagi.  Dan malam itu, buat kali terakhir, kami tidur 'bersama' dengan mak.  

Awal pagi, pukul 7, van jenazah sudah terpacak di rumah abang.  Nasib baik semuanya dah bersiap mandi dan menguruskan apa-apa yang patut.  Aku tak tidur dari semalam.  Tidur ayam-ayam jer.  Disebabkan aku tengah period masa tu, aku lar orang pertama sekali mandi.  Rasanya pukul 5.30 pagi kot.  Sambil itu aku message kat suami untuk update lokasi dia.  Kesian kat suami, terpaksa bertolak pukul 3 pagi dari Pasir Gudang.  Alhamdullilah, suami, anak-anak dan mak mertua aku selamat sampai di kawasan masjid UPM pukul 8 pagi.  

Jenazah mak selamat sampai di Masjid UPM untuk dimandikan, dikapankan dan disembahyangkan.  Kami, anak-anak perempuan mak abah, Akak, Kak Ecu, aku, Aca dan Adik, serta juga menantu -menantu perempuan mak, bakal menantu, makcik sedara yang terdekat, beramai-ramai membantu memandikan jenazah mak.  Sebenarnya dah ada dua orang makcik yang jadi tukang mandi dan tukang kapan.  Tapi kan lebih bagus anak-anak yang sendiri memandikan jenazah mak nya sendiri.  Dulu masa kita kecik-kecik, mak yang mandikan kita, sekarang tiba lar masanya kita pula memandikan mak.

Dua orang makcik yang jadi tukang kapan dan tukang mandi tu berasa bersyukur sangat sebab kami semua memudahkan kerja-kerjanya menguruskan jenazah mak dengan baik sekali.  Mereka mengatakan inilah pertama kali mereka memandikan jenazah dengan bantuan anak-anak perempuan yang ramai.  Mereka mengatakan lagi betapa bertuahnya arwah mak andai dia dapat melihat keadaan ini kerana mempunyai anak-anak perempuan yang ramai yang sudi untuk memandikannya buat kali terakhir.  

Kami sayu dan hiba mendengar apa yang dikatakan oleh makcik itu.

Selesai mak dikapankan dengan kemas, tiba lar masanya saat-saat yang paling menyayat hati kami semua.  Sebelum wajah mak ditutup dan diikat dengan kain kapan untuk disembahyangkan, kami diberi peluang terakhir untuk mengucup dan menatap wajah mak.  Ketika inilah kami semua menangis.  Menatap wajah mulus mak untuk kali terakhir.  Kami bergilir mengikut giliran adik beradik.  Mula-mula sekali akak sekeluarga, abang sekeluarga, Bami sekeluarga, Kak Ecu, aku, JR, Aca dan Adik.  Paling sayu sekali ialah bila tiba giliran JR.  JR menangis sambil memeluk badan mak.  JR seperti tidak mahu melepaskan mak pergi meninggalkannya.  Kami menangis melihat JR.  Sebab selepas ini JR akan keseorangan tanpa peneman di sisi sedangkan yang lelain semuanya sudah berkahwin.  Kami semua cuba menenangkan JR.  JR menangis terduduk di sudut dinding.  Menantu-menantu mak, cucu-cucu mak turut bersedih di atas pemergian seorang mak mertua yang penyayang dan juga seorang nenek yang baik.  

Usai sudah disembahyangkan, mak dikebumikan di tanah perkuburan UPM.  Aku merasa ralat kerana disebabkan aku period, aku tidak dapat turut serta untuk majlis pengebumian dan bacaan talkin.  Tapi aku berpeluang memandikan jenazah mak.  Itupun aku tanya dulu dengan makcik tukang mandi dan kapan tu.  Makcik tu kata boleh jer kalo orang tengah period mandikan jenazah.  Cuma tak boleh baca surah-surah Al Quran, kalo selawat-selawat ringkas tu boleh lagi.

Kami bersyukur majlis pengebumian jenazah mak berjalan lancar.  Abang menceritakan, terasa sangat ringan semasa sedang mengangkat jenazah mak masuk ke liang lahad.  Allahuakbar, Allah permudahkan segalanya.  

3 tahun.  

Terlalu singkat mak menemani kami semua.  Belum puas kami merindui arwah abah, kini mak pergi, 'menemani' pula abah di sana.  Mungkin juga mak yang paling merindui arwah abah sebelum ini.  Aku perasan.  Kerana semasa mak hidup, mak selalu menceritakan kenangan dia dengan arwah abah.  Walaupun cerita itu sudah berjuta kali diceritakan, kami masih setia mendengarnya.  Semasa arwah mak hidup, mak sepi.  Walaupun dikelilingi dengan anak-anak dan cucu-cucunya, namun apalah guna kegembiraan itu jika tidak dapat dikongsi dengan orang tersayang yang sudah lama pergi dulu.  







Mak, Abah...
Jodoh kalian terlalu kuat
Kasih sayang dan pengorbanan kalian
akan sentiasa tertanam di jiwa kami semua

Akan kami sampaikan
cinta agung kalian
pengorbanan kalian
sifat terpuji kalian
hingga ke warisan keturunan yang terakhir

Mak, Abah...
Damai lah kalian di sana
Bersatu lah kalian di bawah naunganNya
Semoga roh kalian sentiasa mendapat rahmatNya
Hanya doa yang dapat kami utuskan
pengubat rindu pada kalian.

Kami di sini...
Sentiasa merindui mak dan abah
Sentiasa mekar kenangan manis kita sekeluarga
Pahit manis dilalui bersama
Semoga kami semua...
Anak-anak Pak Manap dan Mak Yah
bersatu, berkasih sayang dan meneruskan adat tradisi keluarga kita
hingga ke hujung nyawa...




Thanks for reading this entry....





No comments: