By: Mohd Asri Hj Zainal
“Demi masa, maka sesungguhnya manusia itu berada didalam kerugian. Kecuali mereka yang beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”. (Surah Al-Asr)
Pernah seketika saya dan seorang rakan menghadiri sebuah program anjuran persatuan disini. Memang meriah. Sambutan terhadap program tersebut menggalakkan. Barangkali ramai yang ingin tahu dengan mendalam tentang isi program tersebut.
Lalu, ketika sedang menghayati semua pamera yang disediakan oleh pihak penganjur. Suara rakan ini memberhentikan fokus saya terhadap ‘Lauhah Al-I’lan’.
“Hurm, pakai tudung labuh tapi nampak juga lengan”. Komen rakan saya terhadap seorang ‘ukht’ disitu.
Jujurnya, ketika itu saya sangatlah tidak berminat untuk berbicara Small Matter ini. Dan jujur sekali lagi saya katakan bahawa ketika itu anggapan saya terhadap isu lengan ini adalah perkara yang amat kecil. Bermakna anggapan saya terhadap seseorang itu tentang auratnya sudah sempurna.
“Alaah, small matter lah”. Respon saya secara automatik.
“Kira ok lah tu, at least dia try untuk tutup”. Respon saya lagi.
Rakan saya itu mengangguk mungkin mengerti bukan masa yang sesuai untuk bincang akan isu lengan ini.
Sedar dari lamunan
Minggu dan hari berlalu pergi meninggalkan saya dan rakan. Sedar tidak sedar ketika nota kecil lagi hina ini ditulis hanya berbaki 2 bulan sahaja untuk saya kembali ketanah air. Dan kami terus melupakan isu penutupan lengan.
Sehinggalah saya terjumpa nota kecil saya tentang amaran Baginda Nabi s.a.w tentang sikap meremehkan perkara kecil. Baginda s.a.w bersabda ” …إياكم و محقرات الأعمال”. Hadith yang bermaksud ” Janganlah kamu memperkecilkan perkara kecil”. Hadith ini direkodkan oleh Imam Baihaqi.
Baginda s.a.w mengingati dengan sepenuh peringatan bahawa perkara kecil jangan ditinggalkan kerana dari perkara yang kecil ini lah jadinya perkara besar.
Oleh kerana itu, isu penutupan aurat lelaki dan wanita ini bukannya perkara kecil yang boleh diremeh temehkan ! Bahkan ianya isu yang sangat berat lagi-lagi kita merupakan cermin kepada agama ini. Baik buruk Agama ini semuanya kita yang cerminkan pada golongan non muslim.
Oleh itu, izinkan saya untuk berbicara tentang isu aurat ini agar kita tidak tergolong dari golongan yang sesat dan menyesatkan.
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain”. (Hadith ini direkodkan oleh Imam Muslim)
Aurat dari kacamata Imam Mazhab yang 4.
Saya bawakan kepada teman-teman semua ringkasan Bab Aurat ini dari pembacaan saya melalui Kitab Fiqh Al-Islami Wa Adillatahu(Fikh Islami dan Dalil-Dalilnya) yang ditulis oleh Dr. Wahbah Az-Zuhayli.
Rata-rata apabila diselak pandangan ke empat-empat Imam Mazhab Muktabar ini mereka berpendapat dengan tegas bahawa Aurat itu menjadi kewajipan untuk menutupnya. Dan mereka hanya berselisih pendapat ketika menyatakan isu aurat dihadapan mahram, dihadapan muslimah dan juga ketika berada dihadapan wanita non muslim.
Tidak kurang juga dengan pendapat penutupan aurat bagi kaum lelaki.
Imam Hanafi dan Ulama-Ulama alirannya :
1. Aurat Lelaki bermula dari bawah Pusatnya hingga dari bawah lututnya.
2. Aurat perempuan yang merdeka adalah keseluruhan tubuhnya kecuali Wajah, Kedua belah tangan (tapak depan dan belakang) dan juga Kedua belah kaki.
Imam Malik dan Ulama-Ulama alirannya :
1. Aurat Lelaki terbahagi kepada 2. Iaitu Mukhaffah(Antara Pusat dan Lutut) dan Mughallazah ( iaitu kemaluan hadapan, zakar berserta buah zakar dan kemaluan belakang yang terletak antara kedua-dua papan punggung) . Jesteru, mereka dengan berpandangan bahawa aurat-aurat ini Wajib ditutup. Mazhab maliki juga berpendapat bahawa aurat lelaki kita bersolat hanya perlu menutup Aurat Mughallazah sahaja. Oleh itu, diwajibkan mengulangi sembahyang dengan segera sekalipun terdedah kedua-dua papan punggung sahaja, ataupun terdedah ari-ari. Paha tidak dikira sebagai aurat pada pandangan mereka, hanya zakar dan buah zakar sahaja.
2. Manakala untuk aurat perempuan pula. Semua badannya, kecuali muka dan dua tapak tangan. Mubah (harus) didedahkan muka dan dua tapak tangannya di jalan dan di hadapan lelaki ajnabi, tetapi sengan syarat aman daripada fitnah. Jika ditakuti fitnah, maka wajib ditutup.
Imam Syafie dan Ulama-Ulama alirannya :
1. Aurat lelaki bermula dari Pusat hingga lah ke Lutut.
2. Manakala untuk aurat perempun Imam Syafie dan Ulama sealiran dengannya tidak memberikan pengecualianya kepada tangan dan juga wajah.
2.2 Namun, ada juga Ulama-Ulama Syafi’iyah memberikan pengecualian. Mubah didedahkan muka dan dua tapak tangan di hadapan lelaki ajnabi dengan syarat aman daripada fitnah. Wajib tutup muka dan dua tapak tangan itu bukan kerana ianya aurat, tetapi kerana menutup pintu fitnah dan fasad.
Imam Ahmad bin Hanbali dan Ulama-Ulama alirannya :
1. Aurat orang lelaki ialah apa yang ada antara pusat dengan lututnya.
2. Semua badannya kecuali muka dan dua tapak tangan. Muka dan dua tapak tangannya halal dilihat lelaki ajnabi, jika aman daripada fitnah. Tetapi wajib ditutup sekiranya ditakuti mendatangkan fitnah.
Begitulah pandangan-pandangan Imam Mazhab yang 4 berkenaan aurat. Saya tidak bawakan kepada teman tentang perbahasan lanjut tentang isu aurat ini. Cukuplah sekadar isu fundamental tentang aurat.
Adapun, perbahasan tentang aurat bersama wanita islam , bersama mahram dan bersama wanita non-muslim saya rasa teman-teman semua mampu mengkajinya. Begitu juga dengan ikhwah muslimin.
Small Matter Is Not More Small but Is A Important Matter.
Subhanallah !
Baru kita sedarkan, bahawa selama ini yang kita ingat perkara kecil itu boleh diremehtemehkan. Sekarang, jelaslah bahawa lengan itu perlu ditutup dengan sempurna seperti mana ditutup aurat yang lain dengan.
Kadang-kadang kita terlupa. Tidak mengapa, sebab itu perlunya ada teman-teman untuk mengingatkan kita. Tidak terlepas juga kepada kaum Adam yang selalu meremehkan soal aurat ketika bermandi bersama rakan-rakan.
Pusat yang berdaki tidak dihiraukannya. Lutut yang serabai langsung ditirikannya.
Kadang-kadang orang lain terpaksa menyakitkan mata mereka dengan melihat semua itu.
Moga kita lebih sedar selepas ini.
Kita Ajen Dakwah Ummah.
“Aku bukannya Ustazah, so tak pe lah kalau tak tutup aurat !”
“Aku amik Banking weyh, tak payah lah nak tutup-tutup bagai ni”.
“Jumudnyaaaa”.
Agak-agaknya kan pernah tidak teman-teman dengar ayat -ayat tersebut? Mesti pernah dengarkan. Tidak kita yang cakap, mesti kawan-kawan kita yang lain cakap.
Sebenarnya, tujuan pensyariatan untuk menutup aurat ini sangat indah. Apa dia? Antara tujuan (Maqasid Syariah) ianya adalah untuk memelihara maruah dan harga diri seseorang.
Islam ini agama yang sangat-sangat memelihara penganutnya dari ancaman duniawi dan ancaman ukhrawi. Kerana itu, pensyariatan menutup aurat ini tidak memilih bulu. Semua yang mengucap 2 kalimah syahadah sudah tertaklif kepadanya syariat ini.
Tambahan, hampir kesemua yang berada didalam kita ini adalah berlatar belakangkan pendidikan agama sejak sekolah rendah lagi. Adapun yang tidak berpendidikan agama secara khusus tetapi masih didedahkan isu ini sejak kecil lagi. Latar belakang agama !
Jesteru, tidak timbul isu meremehkan tanggungjawab menutup aurat ini. Lagi teruk, apabila gambar-gambar yang tidak sempurna aurat itu kita kongsikan untuk tatapan ramai diruangan laman sosial. Baik lelaki mahupun perempuan, keadaan kita semuanya sama.
Kita adalah ejen penyebar dakwah islamiah. Kita selalu mimpikan agar Islam di Malaysia ini kembali kuat dan kembali hebat. Hatta, kita selalu mimpikan agar Islam kembali berkuasa didunia ini. Tapiiiii….kita selalu mencemarkan impian itu dengan masalah kita golongan agama.
Masalah paling besar ialah masalah krisis identiti !
Jom Kita Ubah !
Akhir kata, semoga nota kecil dan hina ini mampu menggembalikan sinar hidayah yang kian malap dalam hati. Masa untuk berubah masih banyak.
Sama-samalah kita saling nasihat menasihati agar ukhwah yang dibina atas nama Allah ini kekal hingga ke syurga.
Sahabat dan teman sejati akan sentiasa memimpin teman dan sahabatnya yang lain kejalan Syurga Allah.
Mohon doa dan teguran jika saya juga melalukan kesilapan.
Memang benar, bukan semua kita ini sempurna. Namun, kesempurnaan itu dicari agar selamat didunia dan juga di akhirat. Dan kesempurnaan itu lah mengikut 100% ajaran agama Islam yang Suci ini.
No comments:
Post a Comment