Keadaan di kedai makan itu seperti malam-malam sebelumnya. Orang ramai berpusu-pusu keluar masuk. Menu char koey teow menjadi pilihan utama bagi sesiapa yang mengunjunginya. Azmi tidak terkecuali. Cuma kali ini lebih tenang, apabila dia bersama dengan sahabatnya yang belajar di Mesir. Ehsan namanya. Sudah lama mereka tidak ketemu.
“Ko perasan tak, yang Facebook dah banyak berubah?”. Ehsan memulakan perbualan. Char koey teow special telah habis dijamahnya.
“Aah, aku perasan juga. Dah ada ticker sekarang ni, yang mana segala perbuatan kita di Facebook, akan diketahui umum. Malah, kalau upload gambar pun, punyalah besar apabila ada dekat wall tu. Dahsyat Facebook sekarang ni.” Rungut Azmi. Dia meneguk teh ais, sambil mengetap bibir kerana kesejukan.
“Hmm, itu yang aku risaukan. Bukannya apa, aku selalu terfikir. Bagaimana ketika di akhirat kelak, yang mana segala perbuatan kita akan dipertontonkan semula, samada perbuatan baik atau buruk. Tengok sajalah, kat Facebook pun, segala apa yang kita lakukan, akan keluar dekat ticker tu, dari ‘like’, ‘comment’ dan macam-macam lagi. Tidaklah aku katakan salah untuk bersosial, cuma perlulah berpada-pada. Kita tidak akan berasa segan sekiranya kita melakukan perkara yang bermanfaat di Facebook. Tetapi, malu sebenarnya, jika kita melakukan perkara yang melalaikan, yang mampu menimbulkan fitnah, kemudian dipertontonkan pula di khalayak ramai.” Ehsan meleter panjang.
“Aku pula cuma kurang suka sekiranya kawan-kawan perempuan aku, begitu seronok upload gambar kat Facebook. Bukannya apa, tidak ada salahnya untuk upload, tetapi tidak perlulah sehingga mendedahkan aurat, malah membuat gaya yang menggoda. Mata-mata yang liar begitu banyak memerhatikan mereka. Saham dosa semakin bertambah tanpa sedar. Tidak terkecuali bagi kawan-kawan lelaki juga yang suka mendedahkan aurat. Seolah-olah di akhirat, segalanya dipertontonkan di Facebook. Segala dosa-dosa akan dituntut di akhirat kelak.” Azmi menambah.
“Hmm, maka disebabkan itulah, kita kena pandai ambil peluang.” Ehsan menimbulkan tanda tanya dalam diri Azmi.
“Maksud ko?” Azmi menggelengkan kepala, tanda tidak mengerti.
“Orang selalu fikir bahawa laman web sosial ni, hanyalah tempat untuk kita bersosial sahaja, yang mana ikhtilat lelaki dan perempuan sudah tidak ada batasan. Bukanlah bermaksud tidak boleh berkawan langsung dengan berlainan jantina di Facebook, namun, perlu menjaga batas pergaulan, sungguhpun hanya di alam maya. Janganlah sehingga menimbulkan fitnah dan syak wasangka, atas segala perbuatan kita yang dipertontonkan di Facebook tu.” Hujah Ehsan.
“Gunakan medium ini untuk berdakwah. Nak jadi da`ie mesti kreatif. Takkan nak tunggu kita belajar kat Mesir, amek jurusan Syariah, nak kena jadi ustaz, baru boleh berdakwah, kan? Dengan hanya menggunakan medium seperti Facebook sahaja, kita dapat menyebarkan Islam, memberi manfaat kepada orang lain. Contohnya, boleh sahaja kita post link-link agama yang bermanfaat, contohnya dari ILuvIslam. Kongsikan tafsir Al-quran dan juga Hadis. Kemudian boleh sahaja kita post link-link dari Youtube, video yang memberi pengajaran. Maka apabila dipertontonkan di Facebook, di khalayak ramai, sekurang-kurangnya kita melakukan perkara yang bermanfaat. Mungkin sahaja menjadi saham pahala bagi kita, bukannya menjadikan Facebook sebagai medium menambah dosa dan tempat meluahkan perasaan, kan?” Tambah Ehsan, panjang lebar.
“Hmm, aku setuju dengan pendapat ko. Tapi, bagaimana kalau sesetengah daripada kawan-kawan kita kurang bersetuju? Mungkin sahaja akan ada umpatan-umpatan liar mengatakan bahawa kita pun perangai tak seberapa, nak berdakwah kat orang lain pula.” Azmi cuba menguji Ehsan.
“Iya, tidak dinafikan memang ada sahaja yang tidak bersetuju dengan kita. Namun sedarlah, redha Allah lebih penting dari redha manusia, kan? Perlu menjadi sempurna dulu ke, untuk membuatkan kita berhak menasihati dan berdakwah kepada orang lain? Tanpa sedar, sebenarnya kita dapat memperbaiki diri kita, sedikit demi sedikit.” Hujah Ehsan, padat.
“Betul juga apa yang ko cakap tu. Hmm, haa ko perasan sesuatu tak?”
“Tak pun. Perasan apa?”
“Aku rasa, tokeh kedai ni asyik pandang kita ja, rasanya dia macam dah nak tutup kedai.”
“Haha, agak arh, dah lewat ni kan, ok la, jumpa lagi nanti. Semoga segala apa yang kita bincangkan, memberi manfaat. Semoga Allah mempertemukan kita lagi. Assalamualaikum.”
“Haa, waalaikumussalam.” Mereka berpisah, mengikut haluan masing-masing.
No comments:
Post a Comment